Dr Mohd Rasdi. FOTO Nazri Abu Bakar
Dr Mohd Rasdi. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Bekas Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi dan Penolong Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin Profesor Madya Ts Dr Mohd Rasdi Zaini dilantik sebagai Rektor UiTM Melaka.

UiTM Melaka dalam kenyataan menjelaskan Rasdi menjalankan tugas bermula 22 November lalu bagi menggantikan Profesor Dr Abd Halim Mohd Noor yang telah tamat tempoh lantikan.

Rasdi, 47, pernah menjawat jawatan sebagai Fellow di Institut Antarabangsa Pengurusan Perladangan juga aktif dalam penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional mahupun antarabangsa serta beberapa jawatan penting lain.

Beliau berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Entomologi Pertanian pada 2013 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Perlindungan Tanaman dari UiTM pada tahun 2005.

Berasal dari Melaka, Rasdi turut menganggotai badan profesional 'Malaysia Board of Technologist' (MBOT) dan beberapa badan profesional lain antaranya Incorporated Society of Planters (IIPM) dan The Entomological Society of Malaysia (ENTOMA).

Selain itu, beliau juga pernah menerima pelbagai anugerah antaranya Anugerah Usahawan Tani 2020 dari Kerajaan Negeri Melaka melalui Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka, 'Academic Excellence Service Award', Anugerah Penyelidik Harapan dalam bidang Sains dan Teknologi, UiTM Pahang 2009, dan Anugerah Sri Gading sebagai penulis paling aktif dalam penerbitan jurnal antarabangsa UiTM Pahang 2009.

Pelantikan Rasdi sebagai Rektor UiTM Melaka diyakini mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan dan kecemerlangan graduan UiTM khususnya UiTM Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:06 PM