Pekebun warga asing dari Bangladesh mengusahakan kebun sejak dari awal pagi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pekebun warga asing dari Bangladesh mengusahakan kebun sejak dari awal pagi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Yusmizal Dolah Aling


Tanjong Karang: Pengedaran racun dan baja kepada pesawah perlu dilakukan berdasarkan pemilik lot bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak saja menerimanya.

Wakil pesawah yang ditemui wartawan berkata, menerusi cara itu, tidak timbul isu bantuan diberikan kepada pihak yang tidak berkenaan seperti warga asing.

Dia yang mahu dikenali sebagai Ghazali berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah warga Bangladesh ini bertindak seolah-olah cacing naik ke mata.

"Mereka datang meminta racun dan baja yang diuruskan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), bertanya seolah-olah itu hak mereka.

"Sedangkan mereka pendatang dan yang patut berurusan adalah pemilik sawah yang mempunyai rekod dengan PPK.

"Apa yang berlaku, mereka sudah mula tunjuk taring, meminta bantuan termasuk baja tambahan. Ini menimbulkan suasana tidak harmoni," katanya ketika ditemui.

Ghazali berkata, sebelum ini dia dan rakan-rakan petani lain bersabar dengan kerenah warga Bangladesh di situ.

"Ketika sawah tidak memerlukan air, mereka buka palong untuk kegunaan kebun. Bila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tutup, mereka buka.

"Perkara ini berlaku beberapa kali sehinggakan menimbulkan masalah kepada petani," katanya.

Sementara itu tinjauan wartawan di sekitar Sekinchan mendapati warga Bangladesh dilihat mengusahakan kebun di situ sejak awal pagi.

Rata-rata mereka berada di kebun yang diusahakan sehingga tengah hari sebelum beredar.

Ketika tinjauan, wartawan juga melihat hasil kebun yang diangkut keluar dari kawasan sawah diserahkan kepada peraih untuk dijual di tempat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:55 PM