Yusmizal Dolah Aling


Tanjong Karang: Tukar sawah jadi kebun. Itu inisiatif langsung petani Bangladesh di 12 hektar sawah sekitar Sekinchan, dekat sini, yang mengubah tanah bendang kepada kebun tanaman kontan.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, ia menjadi trend sejak dua tahun lalu apabila golongan itu menjadikan sawah sebagai kebun tanaman kontan mereka.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang sebahagian besar pesawah kerana tanaman mereka diganggu makhluk perosak dari kebun berhampiran.

Selain itu, katanya, aktiviti kebun yang dijalankan juga mengakibatkan saliran air untuk sawah tersekat dan perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan hasil bendang terjejas sekali gus memberi kesan kepada pendapatan pesawah.

"Pemerhatian kita mendapati, setakat ini terdapat lebih 12 hektar yang dulunya sawah, kini bertukar menjadi kebun tanaman kontan.

ANTARA sawah yang telah ditukar menjadi kebun oleh petani Bangladesh. FOTO AIZUDDIN SAAD
ANTARA sawah yang telah ditukar menjadi kebun oleh petani Bangladesh. FOTO AIZUDDIN SAAD

"Kadar sewa adalah antara RM4,000 hingga RM4,500 untuk semusim. Bermakna dalam setahun, mereka bayar dua kali namun ia boleh memberikan hasil berkali ganda," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, antara tanaman lain yang diusahakan termasuklah peria, timun, kacang, bendi, keladi, jagung dan sayuran lain.

Katanya, ia dijual kepada peraih termasuk daripada Bangladesh sendiri yang turut mengambil stok sayuran yang ditanam golongan itu.

"Kita dapati, mereka ini menggunakan saluran sama dengan penanam sayur di Cameron Highlands.

"Kita juga dapat rungutan daripada petani bahawa ada antara Bangladesh ini sudah 'besar kepala' dengan memohon peruntukan baja dan racun yang disediakan kerajaan," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama agensi berwajib untuk mencari jalan penyelesaian dan dalam pada masa membantu petani yang memerlukan tenaga kerja.

"Perkara ini juga sudah dibangkitkan di Parlimen semalam dan saya harap ada kaedah yang diperkenalkan untuk membantu petani di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:43 PM