BAMBANG Suharto. FOTO Zuhainy Zulkiffi
BAMBANG Suharto. FOTO Zuhainy Zulkiffi
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Trend penurunan jangkitan Covid-19 di Indonesia dan Malaysia mendorong kerajaan kedua-dua negara menggubal dasar bagi memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara.

Dasar itu juga amat dialu-alukan oleh pihak yang terbabit dalam industri pelancongan.

Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Bambang Suharto berkata, pengenalan perjalanan rentas negeri di Malaysia dan pembukaan Langkawi kepada pelancong menunjukkan kesan positif kepada destinasi pelancongan, termasuk Pulau Pinang.

"Begitu juga di Indonesia, Bali dijangka menjadi titik permulaan bagi memulihkan industri berkaitan pelancongan.

"Namun, kesihatan pelancong asing adalah syarat utama bagi melawat Indonesia," katanya ketika berucap di Majlis Promosi Parawisata dan Kuliner Indonesia 2021 di Pulau Tikus di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Indonesia menurun 74.84 peratus pada 2020, daripada 16.11 juta pada 2019 kepada hanya 4.09 juta pada 2020.

Daripada jumlah itu, jumlah pelancong Malaysia yang berkunjung ke Indonesia turun 67 peratus daripada 2.9 juta pada 2019 kepada 980,000 pada 2020.

Mengulas lanjut, Bambang berkata, kesihatan dan keselamatan pelancong asing dan rakyat Indonesia menjadi kewajipan mutlak berikutan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Berikutan itu, menurut beliau, protokol kesihatan mesti dilaksanakan dengan ketat dan berdisiplin, termasuk proses apabila pelancong berkunjung ke Indonesia.

"Sebelum pandemik, terdapat penerbangan terus dari Pulau Pinang ke beberapa bandar di Indonesia seperti Jakarta, Medan, Surabaya dan Bandung.

"Antara trafik penumpang adalah bagi tujuan pelancongan dan kami berharap penambahbaikan dapat dilakukan semula selepas pandemik," katanya.

Menurut data Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada 2018, terdapat 245,000 pelancong yang datang dari Indonesia dan meningkat kepada 275,000 pada 2019.

Sebaliknya, terdapat 255,000 pelancong yang datang dari Pulau Pinang ke Indonesia pada 2018 dan meningkat kepada 272,000 orang pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:33 PM