GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seorang pelajar perempuan berjaya melarikan diri selepas dipercayai hampir menjadi mangsa culik dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa yang berusia 13 tahun dihampiri seorang lelaki tidak dikenali berhampiran sekolahnya.

Katanya, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berkaitan insiden itu yang dibuat oleh mangsa.

"Siasatan mendapati, mangsa seorang perempuan yang menyatakan ketika turun daripada van sekolah untuk menghala ke sekolah, didatangi sebuah kereta Perodua Kancil yang dinaiki seorang lelaki tidak dikenali.

"Lelaki itu memintanya menghantar satu borang tidak pasti ke sekolah. Mangsa juga diminta untuk masuk ke dalam kenderaan itu, mangsa yang enggan kemudiannya ditarik masuk ke dalam kereta.

"Mangsa dibawa lari sekitar Taman Molek sebelum berjaya melepaskan diri selepas dibawa lari hampir 400 meter dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya meminta bantuan orang awam, selain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis sedang giat mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:32 PM