Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby Road di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai leher dipegang dan dicekik.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan kejadian polis menahan tiga suspek lelaki berusia 34, 47 dan 60 tahun di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal, difahamkan suspek sebenarnya tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa mencuri pembesar suara kepunyaan salah seorang daripada mereka (suspek).

"Suspek jumpa mangsa bersama dengan pembesar suara berkenaan sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan yang menyebabkan mangsa terbunuh," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, difahamkan mangsa dipegang pada leher dan dicekik menyebabkannya meninggal dunia.

Katanya, pihaknya juga percaya mangsa mempunyai masalah mental.

"Polis turut merampas sebilah pisau lipat milik mangsa ketika siasatan dilakukan di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang ditahan akan direman seminggu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:54 PM