Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Individu yang mahu menyalurkan maklumat penting kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta tidak sekadar menghantar surat layang tanpa memperincikan maklumatnya.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, ini kerana, pihaknya sering menerima surat layang yang ditulis panjang, tetapi tidak mempunyai maklumat tepat sehingga siasatan sukar dilakukan.

Jelasnya, berikutan itu pegawai penyiasat SPRM terpaksa menghabiskan terlalu banyak masa bagi melengkapkan sesuatu siasatan sedangkan pihaknya tidak mempunyai jumlah pegawai yang ramai.

"Setiap bulan, kita terima sejumlah surat layang, kita tidak pernah abai surat layang yang diterima, tetapi kita perlu membuat semakan lebih terperinci kerana kita tidak mahu ia seolah-olah menganiaya pihak tertentu sehingga SPRM disalah guna untuk membuat siasatan tidak betul.

"Kita menggalakkan orang ramai yang mempunyai maklumat penting terus menyalurkannya kepada pegawai kami dan kita jamin identiti mereka dirahsiakan sepenuhnya, kecuali jika mereka yang mendedahkannya sendiri," katanya ditemui pada Majlis Apresiasi SPRM Kedah Bersama Rakan Strategik 2021 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharom Nizam berkata, individu yang mempunyai maklumat juga tidak perlu hadir ke pejabat SPRM, sebaliknya mereka boleh membuat temu janji bersama pegawai SPRM di mana-mana lokasi awam.

DATUK Shaharom Nizam Abd Manap (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pengamal media negeri Kedah yang menerima sijil penghargaan. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Shaharom Nizam Abd Manap (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pengamal media negeri Kedah yang menerima sijil penghargaan. FOTO Luqman Hakim Zubir

Katanya, temu janji mengikut masa dan tempat bersesuaian itu boleh dilakukan berikutan ada individu bimbang untuk hadir atau dilihat berada di pejabat SPRM.

"Kemudian kita boleh bincang terus untuk dapat maklumat sebab melalui surat layang, kita kurang jelas sama ada ia adalah tohmahan atau maklumat sebenar. Sukar untuk SPRM ambil tindakan lanjut dan kita tidak akan layan orang yang mahu menganiaya pihak lain.

"Jangan khuatir kerana kita tidak akan dedahkan identiti pemberi maklumat, sebab itu pegawai SPRM akan pergi berjumpa dengan pemberi maklumat mengikut tempat yang dirasakan sesuai dengan individu itu," katanya.

Terdahulu, 21 pengamal media Kedah menerima sijil penghargaan SPRM Kedah atas sumbangan dan sokongan kepada aktiviti usaha pencegahan rasuah di negeri ini.

Shaharom Nizam berkata, liputan media berterusan mampu memberi impak positif kepada kalangan masyarakat termasuk memberi kefahaman usaha membanteras rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:28 PM