GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Tempoh 12 hari berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 mencukupi untuk calon bertanding menjalankan tugas mereka bertemu penyokong dan pengundi masing-masing.

Veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Peter Minos berkata, tempoh itu membolehkan calon bertanding berkongsi agenda dan ideologi mereka untuk menarik pengundi.

"Bagi saya tempoh 12 hari bagi tempoh berkempen sudah memadai sebelum hari penamaan calon pada 6 Disember dan mengundi pada 18 Disember.

"Tempoh berkempen selama 12 hari membolehkan calon berkongsi pandangan kepada penyokong dan pengundi masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-12.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Disember.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 6 Disember iaitu hari Isnin sehingga 11.59 malam 17 Disember.

Peter yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengingatkan mereka yang terbabit pada PRN-12 Sarawak supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikekang sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:28 PM