WANITA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Tunku Hosna, Jalan Tanjung Bendahara. FOTO Ihsan PDRM
WANITA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Tunku Hosna, Jalan Tanjung Bendahara. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga wanita warga asing termasuk dua disyaki pelacur dan seorang penganjur ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Tunku Hosna, Jalan Tanjung Bendahara, di sini, malam ini.

Serbuan dilakukan jam 9.45 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kerana disyaki berlaku kegiatan pelacuran dalam rumah kedai itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua wanita warga Vietnam berusia 35 dan 42 tahun yang disyaki pelacur.

Beliau berkata, turut ditahan, seorang wanita warga China berusia 56 tahun yang disyaki selaku penganjur di situ.

"Kita turut memeriksa dua lelaki warga tempatan yang disyaki pelanggan untuk tindakan lanjut.

"Turut dirampas, beberapa unit telefon bimbit disyaki digunakan untuk berurus niaga berkaitan aktiviti pelacuran selain buku nota yang di dalamnya mengandungi catitan angka yang disyaki untuk merekodkan urus niaga berkaitan aktiviti pelacuran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, selain itu beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan berkaitan aktiviti pelacuran turut dirampas untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kes itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 12:31 AM