Erma Fatima. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Erma Fatima. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Selepas berjaya mengendalikan program Realiti 'Zero To Ceo' bagi melonjak semula perusahaan industri kecil, penerbit filem dan drama, Erma Fatima berhasrat mengendalikan pula program realiti usahawan dalam kalangan artis.

Katanya, kejayaan Rumah Karya Citra Sdn Bhd dengan kerjasama FINAS dan TV3 yang menerbitkan program Zero To Ceo' ketika pandemik Covid-19 berjaya membuka peluang mereka yang kehilangan pekerjaan untuk terbabit dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, program itu mendedahkan ilmu selain mengukuhkan empayar perniagaan peserta usahawan mikro serta melahirkan usahawan baru melalui kategori Geng Niaga Mak Cun berniaga tanpa modal dengan produk usahawan IKS.

Sehubungan itu, kejayaan berkenaan mendorongnya melebarkan kepada program realiti keusahawan artis yang dijangka akan diadakan awal tahun depan.

Katanya, program itu juga bagi menyahut cabaran Menteri Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang merasmikan final program Zero To Ceo di Melaka tadi.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum usahawan artis biasanya bermusim justeru program berkenaan memberikan pendedahan kepada mereka untuk menjalankan perniagaan yang lebih serius.

"Saya menyahut cabaran Tan Sri Noh kerana sudah sampai masanya kita mendidik artis menjana pendapatan selain daripada bidang seni. Ini kerana semakin tua artis di Malaysia, maka pendapatan mereka turut berkurangan.

"Oleh itu mereka harus membuat persiapan dalam bidang perniagaan. Cabaran untuk menerbitkan program realiti usahawan artis itu amat tinggi. Namun saya akan berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi merealisasikan hasrat berkenaan, malah ramai artis yang bersedia," katanya.

Erma berkata, artis juga boleh menjadi idola dan ikon dalam bidang perniagaan selain menjadi panduan kepada komuniti melalui pendekatan proses perniagaan yang betul.

Mengulas program 'Zero To Hero', Erma berkata, kira-kira 7,000 permohonan diterima untuk menyertai program itu namun hanya 50 usahawan mikro yang terpilih.

Mereka di bimbing mentor hebat diketuai Datuk Faridah Hanim selaku Ketua Mentor selama hampir empat bulan membabitkan 13 episod.

Peserta diberi ilmu keusahawanan selain disediakan platform berniaga dan dididik menguasai pemasaran atas talian menerusi media sosial dengan produk-produk mereka juga di persiapkan dari segi pembungkusan dan barcode selain berjaya memasuki pasar raya besar semasa program ini dijalankan.

Erma berkata, kategori geng Niaga Mak Cun pula membabitkan peserta yang tidak mempunyai syarikat selain baharu untuk memulakan perniagaan dengan menjual produk Mak Cun dan IKS dibawah mentor Puan Erma Fatima atau dikenali sebagai Mak Cun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 7:25 PM