Ayub Jamil pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Ayub Jamil pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan negeri merancang membangunkan sebuah kilang Pemulihan dan Rawatan Lanjutan Modular Sisa Pepejal (Smart) yang mampu menukar sisa sampah kepada tenaga di Seelong, Kulai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata, pembangunan kilang Smart menelan kos kira-kira RM600 juta itu bertujuan menangani isu sisa pepejal yang semakin meningkat di Johor.

Katanya, tapak pelupusan sampah di Seelong yang menerima sisa pepejal bagi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai dan Pasir Gudang mampu mengumpul kira-kira 1,800 tan sampah sehari, dan ia berpotensi diubah kepada tenaga.

"Kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju supaya projek kilang Smart ini diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Darul Ta'zim (PDT) dengan kerjasama syarikat swasta, menggunakan model perkongsian awam swasta.

"Kerajaan negeri sudah bersetuju pengurusan sampah ini untuk dijadikan tenaga dan boleh menjadi sumber pendapatan baharu.

"PDT dijangka akan mempunyai kepentingan dalam pelaburan ini, kita merujuk kepada model pertama dalam negara kita iaitu Smart WTE Plant di Tanah Merah (Negeri Sembilan) yang diuruskan Cypark Resources Bhd," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-14 di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Ee Chin Lin (PH-Tangkak) dan Tan Hong Pin (PH-Skudai) mengenai usaha kerajaan negeri dalam mengurangkan sisa pepejal serta langkah diambil terhadap tapak pelupusan sampah yang telah ditutup.

Sementara itu, Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit berkata, kilang Smart itu mampu menghasilkan 20 hingga 25 megawatt tenaga sejam, yang mana ia memerlukan 1,000 tan sampah untuk diproses.

Katanya, kilang berkenaan juga mempunyai kapasiti menghasilkan 480 hingga 600 megawatt sehari.

Dalam pada itu, Ayub berkata, kerajaan negeri turut bercadang membangunkan ladang solar atau tempat rekreasi awam di atas tapak pelupusan sampah yang sudah tamat tempoh penggunaannya.

Katanya, Johor mempunyai sembilan tapak pelupusan yang masih beroperasi manakala tiga lagi sudah ditutup iaitu di Simpang Renggam, Bakri dan Tangkak.

"Kerajaan Pusat sudah bersetuju membayar RM1 bagi satu tan sampah yang mana kita akan gunakan sebagai modal untuk membangunkan tapak pelupusan ini," katanya.

Ayub berkata, Johor juga bakal melancarkan 'Smart Waste Collection' dengan menjadikan Pengerang sebagai bandar pertama pintar, yang menggunakan teknologi dari Finland, awal bulan hadapan.

"Teknologi ini yang akan menguruskan sampah komersial, industri dan institusi, bakal menjana sumber baharu pendapatan buat pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:40 PM