Anggota bomba termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kuala Muda, Penaga,Kepala Batas. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kuala Muda, Penaga,Kepala Batas. FOTO Ihsan JBPM
Oleh Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Sekumpulan lelaki yang berkumpul di kawasan pasar bisik di Kuala Muda, Penaga di sini, bertempiaran lari apabila melihat kehadiran polis dengan ada yang terjun ke laut dan berenang sebelum seorang daripadanya dikhuatiri lemas.

Difahamkan, anggota polis datang ke kawasan pasar itu untuk rondaan cegah jenayah dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) jam 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, ketika pemantauan, pihaknya mendapati ada sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan pasar berkenaan.

Menurutnya, kumpulan terbabit yang terkejut dengan kehadiran polis kemudiannya melarikan diri dengan ada yang terjun ke laut.

"Setakat ini, disahkan ada seorang yang masih hilang (dipercayai lemas).

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan dengan bantuan bomba dan penyelamat," katanya hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Yusmin Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapat maklumat awal memaklumkan dua lelaki dikhuatiri lemas selepas melarikan diri daripada operasi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut di lokasi mendapati, hanya seorang sahaja mangsa iaitu lelaki berusia 37 tahun dilaporkan hilang.

"Ada tiga lagi individu yang terbabit dalam insiden berkenaan namun kesemuanya selamat.

"Kami masih menjalankan operasi SAR dan 50 anggota membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) terbabit dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:16 PM