Foto hiasan
Foto hiasan
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Cuaca dan hujan yang tidak menentu serta kerosakan tanaman petani di Cameron Highlands, Pahang menyebabkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan hingga menyumbang kepada kenaikan harga.

Bekalan sayur-sayuran import juga berkurangan berikutan negara pengeluar mengalami musim sejuk melampau, turut menjadi faktor.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mendapatkan maklumat punca kenaikan harga.

Menurutnya, ia susulan aduan dan kenyataan yang dibuat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai masalah berkenaan.

"Selain faktor berkenaan, agensi terbabit juga memaklumkan bahawa kenaikan kos pengangkutan kontena daripada negara asal turut menyumbang kepada kenaikan harga sayur.

"Sehubungan itu, Seksyen Penguat Kuasa sudah menjalankan pemeriksaan serta menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) ke atas pengimport dan pemborong sayur bagi mendapatkan maklumat harga sayur-sayuran untuk tindakan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dakwaan CAP mengenai kenaikan harga sayur-sayuran yang mencecah sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Antara sayur-sayuran itu adalah kubis bunga daripada harga RM7 naik kepada RM16 sekilogram, sawi pendek RM3 kepada RM9, brokoli RM8 kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan harga adalah kacang buncis dari harga RM8 kepada RM15 sekilogram, kubis RM4 kepada RM6, cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 9:06 PM