Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah merekodkan keterangan dua wanita warga asing tidak memakai pelitup muka di Taman KLCC, di sini, yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, kedua-dua wanita berkenaan dikenal pasti sebagai pelancong.

"Kita juga sudah memanggil mereka untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Harian Metro 18 November lalu melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing tidak memakai pelitup muka di Taman KLCC di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, hasil penelitian ke atas gambar berkenaan menunjukkan wanita bukan warganegara dilihat sedang berjalan dengan tidak memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki taman berkenaan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 3:51 PM