ZAINAB nafi dakwaan wanita Afghanistan dizalimi.
ZAINAB nafi dakwaan wanita Afghanistan dizalimi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kabul: "Tiada wanita Afghanistan yang dipukul di kawasan terbuka atau dizalimi tentera Taliban sejak mereka mengambil alih kuasa kerajaan. Sikap mereka banyak berubah dan lebih lembut," ujar ahli sayap wanita Pertubuhan Jamiat Eslah Afghanistan, Zainab Hakimi.

Dia yang ditemui wartawan di ibu pejabat pertubuhan itu di Taimani Ward di sini, menafikan laporan berat sebelah media barat menggambarkan kaum wanita di negara ini menerima layanan buruk selain dinafikan hak oleh pemerintah Taliban.

Zainab berkata, pihak Taliban yang menguasai negara itu sejak Ogos lalu, bersikap sederhana dan tidak terlalu ultra konservatif berbanding ketika era pemerintahan antara tahun 1996 hingga 2001.

Ketika itu Taliban dikaitkan dengan undang-undang syariat Islam 'keras' apabila mewajibkan lelaki menyimpan janggut manakala wanita diwajibkan memakai burka yang menutup seluruh tubuh.

Malah Taliban juga pernah melarang penggunaan televisyen dan muzik selain tidak membenarkan anak perempuan berusia 10 tahun ke atas bersekolah.

"Setakat ini pemerintah Taliban tidak melarang anak perempuan pergi ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan. Malah tiada larangan rasmi untuk wanita keluar dari rumah bekerja atau bersiar-siar.

"Anda boleh lihat wanita kami bebas keluar membeli belah, makan bersama ahli keluarga dan melakukan aktiviti. Anak-kanak perempuan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa. Ini amat melegakan kami," katanya semalam.

Sementara itu ketua sayap wanita Jamiat Eslah, Fawzia Wardak menyifatkan pembebasan Afghanistan daripada cengkaman tentera penjajah pada Ogos lalu sebagai kemenangan besar buat rakyat negara itu.

FAWZIA Wardak menyampaikan cenderamata kepada penulis selepas sesi diskusi di ibu pejabat pertubuhan itu di Taimani Ward.
FAWZIA Wardak menyampaikan cenderamata kepada penulis selepas sesi diskusi di ibu pejabat pertubuhan itu di Taimani Ward.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 6:00 AM