ROSOL (kanan) mendengar penerangan daripada Timbalan Pengarah Pertanian negeri Zulkepli Amin mengenai buah Melon Manis Terengganu semasa melakukan lawatan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir. FOTO BERNAMA
ROSOL (kanan) mendengar penerangan daripada Timbalan Pengarah Pertanian negeri Zulkepli Amin mengenai buah Melon Manis Terengganu semasa melakukan lawatan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir. FOTO BERNAMA
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Kita (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - Bersatu) tidak kalah malah masih mengekalkan prestasi di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka," kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Rosol Wahid.

Rosol berkata, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran negatif mengenai sokongan rakyat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

"Sebaliknya ia memberi isyarat positif yang bermaksud Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai potensi untuk terus meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

"Saya tidak bersetuju sekiranya membuat kesimpulan kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) hingga kembali membentuk kerajaan Melaka itu sebagai kayu pengukur nasib PN dalam politik negara.

"Peratusan yang keluar mengundi sangat rendah di samping faktor Covid-19," katanya ketika ditemui di Kampung Peradong, Manir, di sini, hari ini.

Katanya, beliau yakin dengan prestasi Bersatu dan PN apabila masih mengekalkan prestasi iaitu dua kerusi.

"Maknanya kita tidak kalah kerana sebelum ini kita meraih dua kerusi Dun (Melaka), kali ini pun sama, malah undi PN turut meningkat.

"Walaupun kita parti yang berusia lima tahun dan bersaing dengan Umno yang sudah 60 tahun tetapi mampu memberikan saingan misalnya di Dun Tanjung Bidara, yang perbezaan undi kurang daripada 500," katanya.

Menurutnya, keputusan PRN Melaka bukan halangan untuk PN terus berjuang dalam memastikan Malaysia bersih, lebih berintegriti dan dihormati.

"Setakat ini tiada isu Bersatu nak kembali atau tidak kepada Umno sebagaimana cadangan segelintir pihak kerana parti itu sendiri pun masih tidak konsisten dan mempunyai masalah dengan kepemimpinan.

"Saya menyarankan Pas agar bekerja lebih kuat bagi menjelaskan hala tuju dan pendekatan parti berkenaan kepada rakyat Melaka yang mungkin masih berdepan salah faham.," katanya.

PN melalui gabungan bersama Pas dan Gerakan hanya mampu menguasai Dun Sungai Udang dan Bemban daripada 28 kerusi yang ditandingi, berbanding sebelum ini kerusi Teluk Mas dan Paya Rumput.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 3:53 PM