ORANG awam menerima suntikan vaksin dos penggalak ketika tinjauan di Lembah Klang. FOTO Azhar Ramli.
ORANG awam menerima suntikan vaksin dos penggalak ketika tinjauan di Lembah Klang. FOTO Azhar Ramli.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kira-kira 500,000 rakyat Johor akan menerima dos penggalak yang pemberiannya sedang giat dilaksanakan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu mengambil kira petugas barisan hadapan, warga emas dan golongan komorbid yang berada di negeri ini.

Katanya, sehingga Jumaat lalu, 77,010 penduduk sudah menerima dos penggalak membabitkan 27,089 barisan hadapan, 38,111 warga emas, 5,583 golongan komorbid dan 6,227 lagi golongan 40 tahun ke atas dan lain-lain.

"Golongan remaja dan pelajar sekolah belum disyorkan lagi untuk menerima dos penggalak, namun kerajaan Johor amat menggalakkan penerimaannya dan mahu ia diperluaskan.

"Cuma ketika ini, kita utamakan anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun ke atas, individu berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid berusia 18 tahun ke atas.

"Kerajaan menyasarkan pemberian dos penggalak kepada 500,000 orang akan diselesaikan pada awal tahun depan," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di sini, hari ini.

Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang berkata, dos penggalak akan diperluaskan kepada semua penduduk Johor apabila melepasi tempoh yang disyorkan selepas lengkap vaksinasi.

Katanya, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera selain mesej pesanan ringkas ke nombor telefon berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 12:21 PM