DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas Asean-China yang dijadualkan esok.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya berkata, sidang kemuncak khas yang diadakan secara sidang video itu akan memberi tumpuan kepada penilaian dan hala tuju kerjasama Asean-China.

Ia termasuklah meningkatkan hubungan Asean dan China kepada kerjasama strategik yang menyeluruh.

"China adalah antara rakan kongsi Asean yang paling dinamik dengan kerjasama dan kolaborasi merangkumi pelbagai sektor di bawah kesemua tiga tonggak Asean.

"Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Khas ini mencerminkan komitmen negara untuk terus mempertingkatkan hubungan dialog Asean-China," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Turut mengiringi sidang kemuncak berkenaan ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri.

Menerusi kenyataan itu, diharapkan dengan adanya sidang kemuncak khas berkenaan ia akan membuka jalan kepada pemimpin untuk mencapai kesepakatan.

Terutamanya berhubung matlamat yang memanfaatkan dalam usaha menggalakkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 11:16 AM