GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa rogol ketika berhibur di sebuah kelab malam, di sini, kelmarin, dipercayai selepas diberikan minuman mengandungi dadah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 19 tahun semalam mendakwa dirogol dua lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, dalam laporan itu, mangsa bersama rakan sedang berhibur di sebuah kelab malam di ibu kota.

"Semasa kejadian, mangsa dikatakan mabuk dan dipercayai diberikan minuman yang disyaki mengandungi dadah.

"Mangsa kemudiannya dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota bersama seorang lagi rakan mangsa. Mangsa menyedari dirogol selepas dimaklumkan oleh rakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap laporan ini.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan diklasifikasikan sebagai kes rogol yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua suspek sedang dikesan untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran orang awam.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan kejadian ini, orang ramai boleh menyalurkannya kepada pihak Polis dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 10:09 AM