NOR Shazleza Shahril bersama suami, Mohd Hafizi Samsudin yang terpisah hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19. FOTO Ihsan Nor Shazleza Shahril
NOR Shazleza Shahril bersama suami, Mohd Hafizi Samsudin yang terpisah hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19. FOTO Ihsan Nor Shazleza Shahril
Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Penantian seorang isteri hampir dua tahun tidak dapat berjumpa suami yang bekerja di Singapura bakal berakhir, susulan kedua-dua negara antara Malaysia dan Singapura bakal membuka Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat dan udara secara serentak pada 29 November ini.

Pekerja swasta, Nor Shazleza Shahril, 30, berkata, pengumuman itu memberi kelegaan dan kegembiraan kepadanya kerana bakal berjumpa dengan suami, Mohd Hafizi Samsudin, 31, tidak lama lagi.

Katanya, anak tunggal mereka, Muhammad Ali Uwais Mohd Hafizi, 3, terlalu rindukan ayahnya kerana dalam tempoh hampir dua tahun ini mereka hanya berhubung menerusi panggilan video sahaja.

"Anak selalu bertanya bila ayahnya mahu pulang, namun saya hanya mampu memujuknya supaya bersabar kerana Covid-19 menyebabkan ayahnya tidak dapat pulang ke kampung.

"Anak juga faham. Saya bersyukur kerana suami dapat pulang bercuti ke pangkuan kami selepas ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh itu, dia dan suami perlu bersabar kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja dan tidak boleh merentas negara.

Katanya, suami bekerja sebagai pegawai Mikrobiologi dan masuk ke Singapura sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.

"Pada masa itu kami menetap di Gelang Patah, Johor Bahru dan hasil perbincangan, suami mengambil keputusan menetap di Singapura, manakala saya serta anak balik ke kampung halaman di Machang, di sini.

"Memang keputusan itu sangat berat, namun demi masa depan keluarga terutama anak yang masih kecil, kami terpaksa berbuat demikian," katanya.

Nor Shazleza berkata, selepas dibenarkan merentas negara, suaminya akan mengambil cuti dan pulang ke kampung untuk bertemunya dan anak serta ibu bapa.

Terdahulu, media melaporkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dipetik berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 4:19 PM