PETUGAS kesihatan yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). FOTO Mohd Fadli Hamzah.
PETUGAS kesihatan yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: Situasi penularan Covid-19 di negeri ini masih terkawal dengan beberapa indikator utama seperti purata kes aktif, kematian dan kadar kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan pola penurunan.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman, berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian bagi membolehkan tindakan awal diambil untuk mengatasi situasi katil hospital kembali sesak dengan pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, beliau mengakui situasi pandemik di negeri itu belum stabil, dan terdapat beberapa petanda membimbangkan seperti peningkatan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19.

"Kebanyakan indikator utama seperti purata kes aktif, kes kematian, dan kadar kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan pola penurunan, namun Rt 19 mencatatkan peningkatan kepada 0.97 pada 12 November lalu.

"Situasi ini membimbangkan kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat, seterusnya risiko pendedahan lebih tinggi untuk dijangkiti virus itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Rusdi memaklumkan daripada 7 hingga 13 November lalu, jumlah kes baharu Covid-19 di Melaka mencatat penurunan tujuh peratus daripada 1,400 pada minggu sebelumnya kepada 1,300 kes, dan purata kes aktif pula menurun 8.7 peratus kepada 2,809 kes.

Katanya, kes kematian pula menurun sebanyak 33 peratus daripada enam kepada empat kes, manakala purata tujuh hari bagi kes memerlukan rawatan di ICU serta alat bantuan pernafasan, masing-masing menurun 11.8 peratus dan 14.3 peratus.

"Namun, kadar insiden purata kes tujuh hari masih tinggi iaitu 19.9 per 100,000 penduduk pada minggu epidemiologi (ME) ke-45 (7 hingga 13 November).

"Kadar insiden jangkitan Covid-19 Melaka bagi tempoh 14 hari (antara 4 hingga 18 November lalu) adalah 290 per 100,000 penduduk dan menduduki tangga kelima tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.

"Rt di Melaka menunjukkan pola tidak stabil dalam masa dua minggu, namun lebih rendah dari Rt peringkat nasional," katanya.

Berhubung kemasukan pesakit ke hospital, Dr Rusdi berkata, hanya tujuh daripada 198 kes yang dimasukkan ke hospital adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima setakat 13 November lalu.

Katanya, jumlah kes aktif yang masuk ke hospital dari ME ke-39 ke ME ke-45 pula menunjukkan pola penurunan, dengan 494 daripada 1,328 kes yang dilaporkan sedang menerima rawatan di fasiliti kesihatan awam dan swasta di Melaka.

"Daripada jumlah itu, 389 pesakit adalah kategori satu dan dua yang tidak dapat menjalani kuarantin di rumah; 31 pesakit kategori tiga; 59 pesakit kategori empat dan 15 pesakit kategori lima, manakala baki 834 kes kategori satu dan dua sedang menjalani kuarantin kendiri melalui pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

"Kapasiti maksimum katil penjagaan kritikal bagi kes Covid-19 di Melaka adalah 90 bagi empat hospital kerajaan dan enam katil di hospital swasta, dengan purata penggunaan katil penjagaan kritikal bagi seminggu adalah pada kadar 23 peratus.

"Bilangan mesin bantu pernafasan adalah 96 unit dan mencukupi buat masa ini," katanya.

Beliau memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sudah memulakan langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, antaranya menambah jumlah katil untuk pesakit Covid-19 kepada 721 di Hospital Melaka.

Selain itu, Hospital Melaka juga memiliki fasiliti Hospital Medan MERCY yang boleh merawat 75 pesakit, manakala Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) memiliki 1,351 katil, dengan kadar penggunaan semasa sebanyak 27.4 peratus.

"Pihak Kesihatan Awam menutup kebanyakan pusat pemberian vaksin awam bagi membolehkan mobilisasi kakitangan kesihatan ke PKRC MITC, Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, CAC Covid-19 dan aktiviti saringan kontak kes Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 10:18 AM