Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kabul: Kesempitan hidup selain tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti menyebabkan remaja, Sina Abdul Wahad, 17, terpaksa berebut menyertai kelas bengkel jahitan bersama puluhan wanita lain.

Dia adalah antara 20 wanita 'bertuah' yang menggunakan bilik sempit disediakan badan bukan kerajaan (NGO) Ehsas Welfare And Social Services Organization di sini, untuk menjalani latihan menjahit.

Menurutnya, kelas itu disertai golongan belia wanita dan ibu tunggal yang sukar mendapatkan pekerjaan.

"Kemiskinan menyebabkan semua kami bercita-cita menjadi tukang jahit sekaligus mampu menjana pendapatan dan mengubah kehidupan.

"Ketika ini peluang pekerjaan amat sukar diperolehi hingga menyebabkan ramai wanita tempatan menjadi buruh, tukang cuci kediaman dan pelbagai pekerjaan yang tidak menjanjikan pendapatan memuaskan.

"Oleh itu kelas ini menjadi 'harapan' untuk kami mengubah kehidupan dan menyara keluarga.

"Saya berharap supaya pendidikan kepada wanita diberikan keutamaan. Perlu ada peluang untuk wanita memajukan diri dan keluar untuk mencapai cita-cita dalam pelbagai profesion," katanya ketika ditemui semalam.

Perkara sama turut dikongsi rakannya Muzhda Janbaz, 18, yang berharap ada sinar untuk wanita Afghanistan

Kepayahan dialami semua wanita terbabit turut menarik perhatian Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan yang menawarkan bantuan tambahan 150 mesin jahit kepada pusat kemahiran itu.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha mengumpul dana bagi membeli mesin jahit berharga US Dollar 40 ( RM160 ) setiap satu.

"Saya berharap bantuan ini dapat meningkatkan peluang kerjaya bagi wanita di sini. Kebanyakan mereka mempunyai semangat kuat untuk memajukan diri.

"Selain itu Muslim Care Malaysia turut akan menaja biasiswa untuk pelajar wanita di sini supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Difahamkan setiap mesin jahit itu akan diberikan percuma kepada setiap pelajar selepas mereka tamat menjalani kursus jahitan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 9:23 AM
 Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan dan Exco MCM melawat kelas jahitan sempit kelolaan Ehsas Welfare And Social Services Organization.
Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan dan Exco MCM melawat kelas jahitan sempit kelolaan Ehsas Welfare And Social Services Organization.