Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Hasil siasatan kematian pegawai bomba, Mohd Diya Che Jusoh pada 21 Oktober lalu dijangka diperoleh pada hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pusingan pertama penyiasatan yang membabitkan pelbagai kepakaran termasuk bomba sudah selesai.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan secara terperinci dan menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa berkenaan untuk membuat siasatan.

Mohd Diya Che Jusoh
Mohd Diya Che Jusoh

"Mereka sudah bersidang kali pertama dan kita bagi kebebasan untuk mereka membuat siasatan secara adil dan telus untuk kita kenal pasti punca kematian.

"Allahyarham yang bertugas dalam pasukan penyelamat di air (PPDA) adalah pegawai yang ditauliahkan dan kita yakin operasi yang dijalankan ketika mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Kita akan cuba mempercepatkan siasatan berkenaan yang merangkumi pelbagai aspek dan pada masa sama, hasilnya nanti dapat digunakan untuk menambah baik pasukan ketika penugasan bagi mengelak insiden sama berulang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Terengganu dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Tahun 2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 70 pegawai dan anggota JBPM Terengganu dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur menerima anugerah serta sijil penghargaan masing-masing.

Turut menerima penghargaan, Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Ab Rashid yang menerima Sijil 30 Tahun Perkhidmatan.

Sebelum ini, JBPM menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bagi membantu melengkapkan kes kematian Allahyarham Mohd Diya.

Allahyarham Mohd Diya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Melaka dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Mohd Diya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 3:48 PM