TN Alagesh


Rompin: Jenazah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Mohamad Affendi Bustamy tiba di rumah ibu bapanya di Taman Redan Perdana di sini, jam 6.35 petang tadi.

Ketibaan jenazah diiringi anggota serta pegawai TUDM.

Ahli keluarga Allahyarham yang sebelum itu dibawa ke Pulau Pinang untuk proses berkaitan turut mengiringi jenazah.

Terdahulu, pesawat yang membawa jenazah Allahyarham mendarat di Pangkalan Udara TUDM Kuantan jam 5 petang.

Suasana pilu turut menyelubungi keluarga Allahyarham selain kenalan.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Muadzam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah.

Mohamad Affendi terkorban selepas pesawat Hawk 108 dikendalikannya terhempas di Pangkalan Udara TUDM Butterworth, Pulau Pinang jam 10.07 malam tadi.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi juruterbang, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera. Mohd Fareez dirawat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:18 PM