Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah melupuskan lebih 16 tan daun ketum dan 2,973.66 liter air ketum yang dirampas sejak 2014 sehingga tahun lalu.

Ketua JSJN Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, kesemua barangan yang dirampas itu dilupuskan di tapak pelupusan sampah di Jabi, Pokok Sena, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan daun ketum dan air ketum yang dilupuskan itu adalah sebanyak RM192,708.41.

"Ia membabitkan 293 kertas siasatan yang sudah selesai perbicaraan dan dijatuhkan hukuman di mahkamah sepanjang tempoh tujuh tahun itu.

"Ia diuruskan dengan kerjasama syarikat e-Edaman Sdn Bhd yang membabitkan keseluruhan barangan rampasan air dan daun ketum di seluruh negeri ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, di sini hari ini.

MOHD Taufik (kiri) melihat bungkusan mengandungi daun ketum yang dirampas untuk dilupuskan. FOTO Zuliaty Zulkifli.
MOHD Taufik (kiri) melihat bungkusan mengandungi daun ketum yang dirampas untuk dilupuskan. FOTO Zuliaty Zulkifli.

Mohd Taufik berkata, rampasan daun ketum didapati meningkat dengan ketara di dua daerah iaitu di Padang Terap dan Baling.

Bagaimanapun katanya, daerah lain turut melakukan tangkapan daun ketum dan air ketum.

"Air ketum paling banyak dirampas di Kota Setar dan Kuala Muda berdasarkan permintaan dari penagih ketum ini sendiri.

"Penanaman pokok ketum bukan kesalahan menyebabkan berlaku kekangan kepada pihak kami namun rampasan dan tangkapan tetap akan dilakukan sekiranya maklumat diterima untuk mereka yang menyalahgunakan daun ketum," katanya.

Mohd Taufik berkata, untuk rekod, pihaknya pernah mengesan remaja berusia 13 dan 14 tahun yang mencuba air ketum yang berkemungkinan pengaruh dari kawasan kampung.

Katanya, selain itu pihaknya menjangkakan permintaan daun ketum akan meningkat berikutan kelonggaran pergerakan orang ramai ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 12:08 PM