GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia muncul sebagai salah sebuah negara melaksanakan pemberian vaksin remaja terpantas di dunia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebanyak 80 peratus daripada populasi individu berusia 12 hingga 17 tahun lengkap divaksin sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, 20 September lalu.

"(Sebanyak) 80 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun lengkap divaksin dalam tempoh hanya 70 hari.

"(Ia) salah satu program vaksinasi Covid-19 remaja terpantas dengan liputan terluas di dunia. Syabas," katanya dalam ciapan di Twitter pagi ini.

Menerusi ciapan sama, Khairy berkongsi perincian infografik terkini program itu iaitu 80.4 peratus remaja lengkap divaksin, sekurang-kurangnya 87 peratus remaja sudah menerima satu dos serta 13 peratus daripada populasi individu bawah 18 tahun belum menerima vaksin.

Kerajaan sebelum ini mensasarkan 3.2 juta remaja divaksin menerusi PICK Remaja.

Melihat kepada perkembangan semasa, Malaysia sudah melepasi sasaran 60 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada bulan ini serta 80 peratus dos lengkap sebelum sesi persekolahan 2022 dibuka.

Dalam pada itu, Khairy mengingatkan orang ramai supaya jangan berlengah dan menepati janji temu pengambilan dos penggalak bagi mengurangkan kadar risiko jangkitan dan penularan.

"Lebih sejuta dos penggalak diberikan. Tetapi kita perlu laksanakan lebih banyak lagi untuk melindungi golongan paling berisiko ketika kita sedang berdepan dengan peningkatan kes," katanya.

Sehingga kini, 1,042,234 kumulatif dos penggalak sudah diberikan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 10:13 AM