Remaja bersama rokok yang cuba diseludup masuk ke Lahad Datu. FOTO IHSAN PPM
Remaja bersama rokok yang cuba diseludup masuk ke Lahad Datu. FOTO IHSAN PPM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Remaja lelaki 19 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di Jalan Agaseh, di sini, semalam didapati membawa rokok seludup bernilai hampir RM10,000 meniaki bas mini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, kegiatan penyeludupan berkenaan dikesan selepas pasukan polis menahan dan memeriksa bas mini berkenaan.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan operasi menemui rokok pelbagai jenis tidak bercukai milik salah seorang penumpang seorang lelaki berusia 19 tahun.

"Semua rokok terbabit terus dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 2:11 PM