Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama penduduk setempat semasa singgah untuk bersarapan di Kampung Pulau Semut dekat Masjid Tanah hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama penduduk setempat semasa singgah untuk bersarapan di Kampung Pulau Semut dekat Masjid Tanah hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan surat tawaran melanjutkan pelajaran kepada anak pegawai bomba yang lemas ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Ayer Keroh, Oktober lalu.

Surat tawaran itu diserahkan kepada Muhammad Daniel Hakime, 18, yang juga anak sulung Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, di sini, hari ini.

Balu Allahyarham, Noraida Che Noh, 39, berkata dia bersyukur kerana hasrat anak sulungnya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang automatif di Kolej Komuniti Bukit Beruang, tercapai.

"Syukur kepada Allah kerana Perdana Menteri sendiri turun padang sampaikan surat kemasukan itu. Syukur sangat-sangat kepada Allah dengan prihatinnya Perdana Menteri kita terhadap rakyatnya, dan memang terharu sangat-sangat.

"Saya juga ucap terima kasih kepada pihak Kolej Komuniti kerana memberi peluang untuk anak saya menyambung belajar di sana, ini juga impian arwah sebab dia kata abang long masuklah bidang yang abang long minat," katanya dalam nada yang sebak.

Katanya, Muhammad Daniel Hakime yang akan memasuki kolej berkenaan pada tahun hadapan diharap memanfaatkan peluang berkenaan, dengan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih terbela.

Sementara itu, Muhammad Daniel Hakime berkata, dia berasa gembira dengan tawaran berkenaan, memandangkan ia adalah bidang yang amat diminatinya.

"Seronok itu tak dapat dibayangkan, sebab tak pernah dapat dan rasa macam ini. Harapan saya, saya nak banggakan mak dan arwah ayah saya," katanya.

Pada 20 Oktober lalu, Mohd Diya, 46, rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras, ketika terbabit dalam operasi menyelamat di Kampung Sungai Putat, di sini.

Mohd Diya disahkan meninggal dunia pada 3.11 pagi keesokkannya ketika mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 12:27 PM