GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Perikatan Nasional (PN) menafikan kenyataan tular memetik pemimpin PN negeri kononnya 12 bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditutup, disebabkan Covid-19.

Setiausaha Eksekutif PN Saiful Adli Mohd Arshad mengesahkan kenyataan yang disebar sejak tengah hari itu adalah palsu.

"Kenyataan itu adalah kenyataan palsu, harap maklum," katanya dalam satu makluman ringkas kepada media, hari ini.

Kenyataan berkenaan memetik Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen bertarikh hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, mengeluarkan notis penutupan premis ke atas Pusat Gerakan PN Dun Telok Mas, berkuat kuasa semalam sehingga 26 November ini.

Notis penutupan itu dikeluarkan berikutan terdapat pengesanan kes Covid-19 dalam kalangan individu yang berada di premis itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman semalam, dilaporkan berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis kompaun RM10,000 selepas mendapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

"Notis kesalahan itu dikeluarkan kerana pihak yang terbabit tidak menyediakan pengimbas suhu di premis seperti yang diarahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 4:30 PM