AL-SULTAN Abdullah (kiri) berkenan bergambar bersama Ismail Sabri sebelum berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah (kiri) berkenan bergambar bersama Ismail Sabri sebelum berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021. FOTO Bernama
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, hari ini.

Ismail Sabri mewakili kerajaan, perkhidmatan awam dan rakyat berdoa kepada Allah SWT semoga Seri Paduka, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan keluarga senantiasa dilimpahi rahmat juga hidayah-Nya selain berada dalam keadaan sihat, sejahtera serta penuh kedaulatan.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyembah maklum beberapa perkara berhubung kerajaan dan negara secara amnya.

"Patik bersyukur ke hadrat Allah kerana atas limpah dan kurnia-Nya, kerajaan bakal menghampiri 100 hari pentadbiran menjelang 9 Disember depan," katanya.

Dalam ucapan sama, Ismail Sabri berkata, konsep 'Keluarga Malaysia' diperkenalkan sebagai pendekatan pentadbiran negara yang bersifat inklusif merentasi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Pendekatan pentadbiran ini mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik untuk bersama- sama menggembleng tenaga dan berganding bahu bagi membawa negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19, khususnya memulihkan ekonomi. Konsep ini mendapat maklum balas serta penerimaan positif dalam kalangan rakyat dan akan dijadikan falsafah baharu dalam pentadbiran negara," katanya.

Ismail turut memanjatkan rasa syukur dengan keberhasilan Program Memorandum Persefahaman (CSA) yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang dengam tumpuan kini adalah saling bekerjasama untuk membangunkan negarasupaya pulih daripada krisis ekonomi dan kesihatan awam.

"Alhamdulillah, hasilnya terlihat jelas dengan perjalanan urusan di Parlimen yang lancar serta konstruktif yang merupakan manifestasi muafakat Keluarga Malaysia serta demokrasi bermusyawarah seperti titah Tuanku.

"Bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara, kerajaan akan memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tercapai keberhasilannya.

"Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi dihulurkan kerajaan dengan tujuannya adalah melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu usahawan memulihkan perniagaan mereka.

"Indikator awal kejayaan pakej itu dapat dilihat menerusi pertumbuhan ekonomi negara yang sebelum ini menguncup 5.6 peratus pada tahun lalu tetapi tberkembang sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun ini," katanya.

Mengambil kira semakin banyak negeri di Malaysia memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial, Ismail Sabri berkata, kerajaan menaruh keyakinan yang pertumbuhan ekonomi diunjurkan berkembang antara tiga hingga empat peratus tahun ini dan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi kukuh selain kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi dan keteguhan prospek.

Beliau berkata, misi pemulihan ekonomi negara terus dipacu melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

"RMK12 adalah agenda besar pemulihan negara sejajar dengan usaha Kerajaan mengembalikan kestabilan ekonomi dan rakyat melalui penjanaan semula dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

"Dengan matlamat mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat menjelang tahun 2025, kerajaan komited untuk menstruktur semula ekonomi negara sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat bagi merealisasikan objektifnya iaitu 'Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan'.

"Hala tuju RMK12 juga adalah selaras dengan objektif Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 terutamanya untuk menyeimbangkan pembangunan bandar dan luar bandar dengan lebih saksama serta adil ke arah masyarakat Malaysia yang inklusif.

"Beberapa lagi inisiatif pemulihan ekonomi negara turut dilaksanakan, antaranya Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan. Sebagai contoh, Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke negara-negara Eropah baru-baru ini yang telah berjaya meningkatkan kemasukan pelaburan langsung asing. Dalam memudah cara industri pelaburan, pelbagai potensi pelaburan berjaya dicapai melalui Aspirasi Pelaburan Nasional yang menumpukan kepada agenda kelestarian dan pembangunan teknologi hijau," katanya.

Ismail Sabri sedar kerajaan perlu menambah baik proses pelaksanaan semua pelan yang dihasilkan supaya keberkesanannya benar-benar dirasai oleh rakyat.

Beliau berkata, kerajaan turut menyedari pencapaian prestasi ekonomi yang baik semata-mata adalah tidak memadai sekiranya isu-isu seperti kelemahan tadbir urus, ketirisan, penyelewengan serta salah guna kuasa masih di takuk lama lagi isu-isu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 baru-baru ini jelas menunjukkan perlu ada pembaharuan tertentu.

"Dalam usaha ini, patik dan seluruh jentera kerajaan Tuanku akan melaksanakan penyelesaian terbaik demi memastikan setiap sen yang dibelanja memberi nilai pulangan ekonomi yang lebih baik kepada rakyat dan negara.

"Selain pembaharuan prosedur dan penekanan budaya kerja berprestasi tinggi, kerajaan akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan cekap bagi memastikan isuyang sama tidak lagi berulang.

"Patik serta barisan Anggota Jemaah Menteri sedang berusaha memerah buah fikiran dan tenaga untuk memastikan pencapaian kerajan. InsyaAllah patik akan membentangkan Laporan Pencapaian 100 Hari Kerajaan apabila tiba masanya nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 12:31 PM