GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Enam daerah konsisten menjadi penyumbang kes baharu Covid-19 yang tinggi di Sabah walaupun trend perubahan angka kes bagi setiap daerah tidak statik.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata antara enam daerah terbabit adalah Kota Kinabalu yang mencatatkan 95 kes, Kota Belud (68); Tuaran (53); Beaufort (52); Ranau (49) dan Kota Marudu (40).

"Walaupun berlaku peningkatan kes harian di Sabah, jumlah daerah yang mencatatkan penurunan adalah lebih banyak iaitu sebanyak 13 daerah berbanding dengan daerah yang mencatat peningkatan kes baharu sebanyak 10 daerah.

"13 daerah tersebut membabitkan Tenom (17); Sandakan (8); Pitas (5); Penampang (28); Papar (20); Tambunan (25); Tongod (0); Tawau (14); Sipitang (12); Keningau (16); Lahad Datu (12); Telupid (2) dan Semporna (1).

"Empat daerah lagi kekal sebagaimana kes yang dicatatkan semalam iaitu Tuaran (53); Kunak (2); Nabawan (1) dan Kalabakan (0)," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah, Masidi berkata jumlah kes spardik atau daripada saringan bergejala kekal tinggi iaitu 39.8 peratus atau 243 kes selepas kes daripada saringan kontak rapat yang mencatatkan 53.68 peratus (328 kes).

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan kes tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 611 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 224,421 kes.

"Sebanyak 10 kes kematian dilaporkan pada hari ini (semalam) iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Tambunan manakala masing-masing satu kes di Keningau, Kota Belud, Kota Kinabalu, Nabawan dan Sandakan.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 464 menjadikan jumlah kumulatif 213,584 orang.

"Manakala 1,730 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 699 orang di hospital, 1,001 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 28 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan dua orang di fasiliti swasta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 8:09 AM