GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di Telok Mas, di sini, diarahkan tutup selama 14 hari selepas berlakunya kes positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Dr Rusdi Abd Rahman berkata, notis penutupan 14 hari itu bermula hari ini sehingga 26 November.

"Ujian saringan awal mendapati, seorang individu positif Covid-19 dan notis penutupan sudah dikeluarkan.

"Seramai 23 individu lain menjalani ujian saringan hari ini dan masih menunggu pengesahan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, JKN turut mengeluarkan notis kompaun berjumlah RM10,000 selepas mendapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

"Notis kesalahan itu dikeluarkan kerana pihak yang terbabit tidak menyediakan pengimbas suhu di premis seperti yang diarahkan," katanya.

Terdahulu, tular notis penutupan Pusat Gerakan PN Dewan Undangan Negeri (Dun) Telok Mas yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah.

Notis penutupan itu dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 5:44 PM