GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dikompaun RM4,000 kerana didakwa berkempen dengan memakai pakaian tertera lambang gabungan parti terbabit.

Kompaun itu dikeluarkan ke atas calon itu yang didapati berada di sebuah kedai makan di Alor Gajah di sini, pada 11 pagi kelmarin.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan kompaun dikeluarkan kepada calon terbabit tanpa mendedahkan butiran lengkap calon.

"Untuk makluman, kompaun dikenakan kerana calon memakai lambang PH," katanya turut berkongsi resit kompaun yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kompaun yang dikeluarkan itu adalah yang pertama dikenakan terhadap calon PRN yang dilaporkan setakat hari ini.

Prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk larangan untuk kempen bersemuka yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedikit-sebanyak menjejaskan aktiviti kempen kebanyakan calon yang bertanding.

Sebahagian besar calon dan jentera banyak meluangkan masa di kedai makan, pasar pagi, pasar malam serta rumah ibadat untuk 'berkempen' menemui pengundi tanpa mengenakan pakaian tertera lambang parti bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 2:36 PM