CALON Bebas, Datuk Ng Choon Koon (tengah) meninjau keadaan sungai yang menjadi penyebab banjir di Kampung Lubuk Kasau, Jasin. FOTO AMIR MAMAT
CALON Bebas, Datuk Ng Choon Koon (tengah) meninjau keadaan sungai yang menjadi penyebab banjir di Kampung Lubuk Kasau, Jasin. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Jasin: Perancangan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bemban, di sini, yang masih belum direalisasikan menjadi penyebab bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Ng Choon Koon mengambil keputusan untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bertanding atas tiket Bebas, Ng yang pernah memenangi kerusi Dun itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ketika bersama Barisan Nasional (BN) pernah berjanji untuk menyelesaikan beberapa isu berbangkit penduduk tempatan, khususnya berkaitan banjir kilat yang sering melanda.

Namun, hasrat itu tergendala apabila dia ditukarkan untuk bertanding di kerusi Dun Kesidang pada PRU-14 dan kalah kepada calon DAP.

"Saya tidak menentang mana-mana parti sama ada BN, Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), sebaliknya saya menawarkan diri untuk memberi peluang kepada pengundi untuk membuat pilihan.

"Sebagai bekas Adun, banyak kerja belum diselesaikan, termasuk menjadikan Bemban sebagai sebuah bandar utama di daerah Jasin," katanya ketika ditemui selepas meninjau masalah banjir sering dihadapi penduduk Kampung Lubuk Kasau, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak tujuh fokus perlu diberi perhatian sekiranya 18,573 pengundi di DUN itu memberi mandat kepadanya.

Menurutnya, antaranya adalah pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik, membangunkan hab pendidikan serta memastikan segala perancangan projek oleh kerajaan pusat terutama membabitkan isu banjir di Dun itu diselesaikan.

"Saya menggunakan logo Pokok pada kertas undi sebagai simbolik untuk bersedia memberi teduhan dan 'memayungi' nasib rakyat di kawasan Dun Bemban jika berjaya diberi mandat memenangi kerusi itu pada 20 November ini," katanya.

Ng, 46, bakal berdepan saingan lima penjuru di Dun Bemban membabitkan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew (PH); Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Dr Yadzil Yaakub (PN); Pengerusi MCA Jasin, Datuk Koh Chin Han (BN) dan seorang lagi calon Bebas, Azmi Kamis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 11:33 AM