SEBAHAGIAN daripada 124 individu dipercayai terbabit dalam kongsi gelap dan dadah ditahan ketika meraikan sambutan hari jadi di pusat karaoke di Georgetown, semalam. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN daripada 124 individu dipercayai terbabit dalam kongsi gelap dan dadah ditahan ketika meraikan sambutan hari jadi di pusat karaoke di Georgetown, semalam. FOTO ihsan polis.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seramai 124 individu yang meraikan sambutan hari jadi di sebuah pusat karaoke di tingkat tujuh kompleks perniagaan di Jalan Burma, Pulau Tikus, di sini, semalam, ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah.

Ketika serbuan pada 1 pagi itu, polis terpaksa memecahkan pintu hadapan bagi memasuki premis berkenaan kerana ia dikunci dari dalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra'ais berkata, serbuan dilakukan Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut itu hasil daripada risikan dan maklumat awam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati 124 individu termasuk beberapa warganegara asing sedang leka berhibur dengan alunan muzik kuat bagi meraikan sambutan hari jadi seorang daripada mereka.

"Mereka berusia antara 15 hingga 70 tahun itu membabitkan 99 lelaki dan 25 wanita.

"Kesemua yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah, " katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Rahimi berkata, pemeriksaan mendapati 26 daripada mereka mempunyai tatu disyaki ahli kumpulan kongsi gelap.

Katanya, hasil ujian air kencing terhadap kesemua individu itu mendapati 21 daripadanya positif dadah pelbagai jenis.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Kesalahan Kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya), Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Kesalahan melindungi atau menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin)," katanya.

Dalam pada itu, Rahimi berkata, polis merakamkan ucapan terima kasih kepada orang awam berikutan maklumat disalurkan.

Beliau berkata, polis mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 11:09 AM