Nor Azizah Mokhtar


Hulu Selangor: Seorang lelaki warga emas yang mengelar leher anak lelakinya sendiri sehingga mati selepas bertengkar kerana berebut siaran televisyen, dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, S Krisman, 72, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Pengakuan tidak direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh anak lelakinya, K Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam di sini, antara 11 pagi hingga 11.30 pagi, 3 November lalu.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Vasu Appu.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 1:57 PM