Dr Norlela Ariffin
Dr Norlela Ariffin
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


Georgetown: Bimbang peningkatan kes berlaku susulan pintu sempadan sudah dibuka termasuk pembukaan semua sektor ekonomi, Pulau Pinang meminta janji temu suntikan dos penggalak Covid-19 di negeri itu disegerakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, mengikut data hanya lebih 16,000 suntikan dos penggalak diberikan setakat kelmarin.

"Kita mempunyai 41,000 petugas barisan hadapan serta lebih 200,000 warga emas termasuk pesakit komorbid.

"Pada 15 Oktober lalu, saya ada memohon dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pandemik supaya janji temu suntikan dos penggalak di negeri ini dapat disegerakan kerana kadar pemberian dilihat perlahan berbanding negeri-negeri lain.

"Tambahan pula pada mesyuarat itu juga saya ada menerangkan mengenai dua kluster membabitkan rumah warga emas dan kilang yang ia amat merisaukan jika suntikan dos penggalak tidak dipercepatkan," katanya ketika berkongsi mengenai perkembangan pemberian dos penggalak di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menyegerakan panggilan janji temu melalui aplikasi MySejahtera kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit komorbid di negeri ini bagi mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19.

Dalam pada itu, Norlela berkata, beliau turut mahu menyegerakan pemberian dos penggalak terhadap pekerja kilang.

"Kita mahu kedua-dua ini disegerakan (dos penggalak petugas barisan hadapan, warga emas termasuk pesakit komorbid) supaya kita boleh cepat bagi pemberian dos penggalak kepada pekerja kilang membabitkan lebih 200,000 orang serta penduduk dewasa lain khususnya bagi penerima vaksin Sinovac.

"Suntikan dos penggalak diperlukan untuk tambah perlindungan keberkesanan vaksin katanya," katanya.

Sementara itu, Norlela berkata, pembukaan pintu sempadan negeri termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga menjadi kebimbangan kepada Pulau Pinang kerana dikhuatiri akan melonjakkan semula kes seperti selepas PRN Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 11:39 AM