SEBAHAGIAN mendapan tanah dan tebing runtuh di jalan Kuala Tahan ke perkampungan di Ulu Tembeling. FOTO ROSELAN AB MALEK.
SEBAHAGIAN mendapan tanah dan tebing runtuh di jalan Kuala Tahan ke perkampungan di Ulu Tembeling. FOTO ROSELAN AB MALEK.
Roselan Ab Malek


Jerantut: Ekopelancongan mula rancak dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kampung tradisional Ulu Tembeling sedikit terganggu apabila berlaku mendapan tanah di jalan antara Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Kampung Kuala Sat, dekat sini.

Pelawat domestik yang 'ghairah' berkunjung untuk menikmati keindahan di beberapa kampung tradisional di Mukim Ulu Tembeling berasa tidak selesa, selain bimbang memandu kenderaan berdekatan laluan mendap dan runtuhan tebing yang berlaku sejak tiga bulan lalu.

Penduduk Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 61, berkata mendapan itu berlaku di jalan Kampung Tuit ke Kampung Pagi berdekatan Kem Nusa dan Tabung selain berdekatan pusat rekreasi Bukit Awam antara laluan Kampung Pagi ke Kuala Sat.

"Di kawasan itu terdapat mendapan ketara sehingga wujud struktur jalan tidak rata dan curam dalam serta merbahaya kepada kenderaan jika tidak berhati-hati.

"Kami bimbang sekiranya berlaku lagi mendapan tanah dan runtuhan tebing kerana sudah kerap berlaku hujan lebat berikutan fenomena musim tengkujuh sudah bermula," katanya.

Rakannya, Zulkifli Jamaluddin, 53, berharap kerajaan dapat membaikpulih mendapan tanah dan runtuhan tebing itu untuk keselesaan pengunjung luar serta keselamatan kenderaan.

"Kita sebagai pengusaha dan penggiat ekopelancongan di sini mahukan kemudahan jalan raya sempurna kerana tempoh sebelum musim tengkujuh ini adalah peluang untuk memperoleh rezeki apabila pengunjung ramai ke sini.

"Bagi penduduk Ulu Tembeling, jalan raya berkenaan adalah perhubungan darat utama sejauh 130 kilometer ke bandar Jerantut iaitu lebih menjimatkan masa perjalanan dan bahan api (petrol) berbanding penggunaan bot penambang sebelum ini," katanya.

Zulkifli berkata, masih terdapat lori balak keluar masuk melalui jalan raya di situ yang dianggap antara punca struktur serta spesifikasi permukaan laluan mudah rosak dan mendap.

Pengunjung dari Lembah Klang, Azhari Rahman berkata, dia berasa bimbang ketika memandu melihat kawasan mendapan dan runtuhan tebing yang boleh membahayakan kenderaan yang berulang alik.

"Sepatutnya ada pemantauan dan pihak berkenaan cepat membaikpulih sekiranya berlaku mendapan supaya tidak berlaku lebih teruk sehingga mengganggu laluan kenderaan.

"Saya sudah tiga kali berkunjung ke pusat peranginan Kampung Kuala Sat, keadaan mendapan tanah dan runtuhan tebing masih berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 11:09 AM