IDRIS (kanan) berdepan pertarungan enam penjuru bagi merebut kerusi Dun Asahan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
IDRIS (kanan) berdepan pertarungan enam penjuru bagi merebut kerusi Dun Asahan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: DAP bertegas kekal dengan pendirian menolak Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendirian parti itu tidak berubah walaupun Idris dan Nor Azman secara rasmi bertanding mewakili PH, masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Asahan dan Pantai Kundor.

"Pendirian kami jelas, DAP menolak pencalonan mana-mana pembelot termasuk dua individu itu (Idris dan Nor Azman).

"Perkara ini kami suarakan dalam Majlis Presiden PH, namun seperti dinyatakan Setiausaha Agung DAP, dua lagi parti memilih untuk menerima mereka.

"Bagaimanapun, pendirian kami jelas tidak berubah dan kami masih tidak bersetuju dengan dua pencalonan itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Melaka di Klebang di sini, hari ini.

Semalam, Idris hadir ke pusat penamaan calon Dun Asahan di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar, Jasin sebagai calon PH daripada PKR, manakala Nor Azman pula hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam (SMKKG) sebagai calon Dun Pantai Kundor mewakili PH daripada Amanah.

Anthony berkata, pencalonan kedua-dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno itu turut mendapat reaksi negatif daripada penyokong DAP yang kecewa dengan keputusan Majlis Presiden PH.

"Kami bertemu penyokong DAP yang menyuarakan rasa tidak gembira dengan penerimaan mereka sebagai calon PH.

"Namun, kami terpaksa jelaskan pendirian DAP, selain mereka tidak boleh mengundi atas faktor ini saja kerana jika mereka tidak mengundi PH, pihak lain yang akan menjadi kerajaan," katanya.

Meskipun kecewa dengan pencalonan itu, Anthony menegaskan DAP tetap mahu memastikan PH menang pada PRN Melaka dengan memastikan semua lapan kerusi ditandingi DAP menang dalam pilihan raya itu.

Beliau berkata, jika PH berjaya membentuk kerajaan baharu di Melaka, pendirian DAP adalah mereka menyokong Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 4:44 PM