Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Biarpun terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan, namun Hamid Yusof tetap menganggap kerja mengangkat sampah di dalam sungai sebagai sumber rezeki halalnya.

Hamid, 63, seorang nelayan yang menetap di pangsapuri Bayu Puteri 2, di sini, mula membuat kerja itu secara sambilan sejak tiga tahun lalu apabila tidak dapat turun ke laut berikutan ketiadaan hasil laut.

Katanya, sejak 2015, agak sukar mencari ikan di Sungai Tebrau, dekat sini, kerana air yang kotor ditambah pula dengan kes curi enjin pada bot nelayan dan jaring menangkap ikan.

"Apabila enjin bot dicuri, terpaksalah saya mendayung bot ke tengah untuk cari ikan. Kebiasaannya, ikan yang boleh didapati di sungai ini adalah ikan tilapia, patin dan keli. Kemudiannya, saya jual kepada jiran mahupun kenalan.

"Pada mulanya saya 'cuci' sungai buat suka-suka. Tidak lama itu, saya mula asingkan botol, tin dan aloi untuk dijual. Walaupun tidak lumayan, namun ia buat saya seronok menghabiskan masa waktu siang di sungai ini.

"Kalau hujan berpanjangan, saya kira itu rezeki. Sebab banyak sampah akan timbul. Memang akui tiada siapa sanggup berenang dalam sungai yang dipenuhi sampah dan kemudian mengutipnya pula menggunakan tangan," katanya memaklumkan isteri, Sharifah Sharif, 62, sentiasa memberi sokongan terhadapnya.

Hamid berkata, pernah ada ketika dia menjumpai wang tunai RM1,500, selain mayat timbul di celah sampah dan pokok sawit yang melalui sungai itu.

"Alhamdulillah, rezeki badan ini masih sihat dan kudrat masih kuat sungguhpun ada sesetengah orang menganggap air kotor itu bahaya. Tiada rahsia yang saya amal melainkan makan ginseng, akar kayu dan herba, selain tawakal untuk bersedekah dengan cara berbeza.

"Saya memperoleh kira-kira RM400 sebulan hasil sampah yang boleh dijual mahupun dikitar semula, pada masa sama, saya masih lagi ke laut jika ada jiran kirim ikan, jadi boleh buat tambah-tambah duit.

"Saya buat kerja ini kerana kudrat saya mahu buat. Tidak bermakna anak-anak tidak membantu, saya cuma tidak mahu bergantung harap kerana semuanya pun bekerja dan mempunyai komitmen sendiri," kata bapa kepada tujuh anak itu.

Berkat usaha tanggungjawab sosial yang dibuat, Hamid kini diambil bekerja dengan pihak kontraktor yang diberikan tender oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi membersihkan kawasan sungai itu.

HAMID membersihkan sampah di sekitar Sungai Tebrau, berhampiran Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
HAMID membersihkan sampah di sekitar Sungai Tebrau, berhampiran Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 4:00 PM