GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Negeri pantai barat dan utara Semenanjung Malaysia dijangka berdepan ribut petir pada sebelah pagi dan petang dalam tempoh seminggu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, bagi negeri di Pantai Timur Semenanjung, hujan dijangka pada sebelah pagi di daerah berhampiran pantai manakala pada sebelah petang, hujan dan ribut petir di kawasan pedalaman.

"Bagi Sabah, cuaca lembab masih dijangka berlaku di kawasan barat Sabah manakala di Sarawak, cuaca lembab tertumpu di kawasan tengah dan barat Sarawak.

"Sepanjang tempoh Monsun Timur Laut pada bulan ini dan Disember, negeri pantai Timur Semenanjung dijangka menerima hujan sedikit melebihi paras purata manakala pada Januari hingga Mac 2022, jumlah hujan bulanan dijangka pada paras normal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya bersiap menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan berterusan serta amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Dr Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, fenomena air pasang besar paling tinggi dijangka melanda negara terutama di kawasan pantai barat pada bulan ini.

"Fenomena itu berlaku kerana beberapa faktor seperti astronomi, kedudukan matahari dan bulan.

"Air pasang besar boleh mengakibatkan banjir teruk jika berlaku pertembungan air laut di lembangan sungai disertai hujan lebat.

"Setiap bulan ada dua kali fenomena air pasang besar dan tahun ini, paling tinggi pada bulan ini," katanya.

Beliau berkata, fenomena itu adalah perkara semula jadi yang terjadi setiap tahun dan kebiasaannya paling tinggi pada sekitar Oktober dan November, namun akan berubah sedikit dari semasa ke semasa.

Menurutnya, sebagai contoh, jika hujan berterusan di Kuala Lumpur dan Selangor, air tidak boleh mengalir ke sungai atau laut akibat air pasang yang secara tidak langsung akan menyebabkan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:41 PM