FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pengenalan Smart Sawah Berskala Besar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan menyelesaikan kos kenaikan harga racun sehingga secara keseluruhan yang membebankan petani.

Ini kerana kos berkenaan ditanggung syarikat peneraju iaitu kira-kira RM3,200 setiap hektar.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras (KPB), Azman Mahmood berkata, ia adalah antara manfaat program itu yang dikhususkan untuk membantu golongan petani yang berdepan pelbagai isu berkaitan penanaman padi sebelum ini.

Katanya, selain itu inisiatif berkenaan dapat meningkatkan hasil padi, mengawal serangan penyakit dan perosak secara bersepadu dari peringkat awal lagi.

"Kita dapati, kadar penggunaan air juga lebih efisyen dan terurus.

"Ia sudah tentu menjimat dan mengoptimumkan pengeluaran seterusnya meningkatkan pendapatan serta melonjak industri padi dan beras negara," katanya.

Azman berkata, antara manfaat lain termasuk kawalan penyakit ulat batang seperti yang berlaku sebelum ini.

"Melalui smart SBB MAFI kita boleh mengawal penyakit ulat batang menyerang batang padi pada umur bawah 30 hari kerana dikawal secara bersepadu berbanding kawalan secara individu.

"Selain itu ia membuka ruang golongan muda terbabit dalam rantaian industri padi dan beras, menjadi usahawan berjaya dengan penggunaan teknologi serta mengamalkan pengurusan 'rice check' yang cekap dan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:45 PM