SEBUAH kapal terbang bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SEBUAH kapal terbang bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia dan Singapura akan melancarkan laluan perjalanan vaksinasi (VTL) bagi pengembara antara kedua-dua negara yang menggunakan mod pengangkutan udara.

VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu akan bermula pada 29 November ini.

Menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, hari ini, VTL itu untuk pengembara yang sudah lengkap divaksinasi.

"Pengembara juga tertakluk kepada ujian Covid-19 sebagai ganti menjalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah.

"Kedua-dua Perdana Menteri juga berharap untuk memulihkan perjalanan merentasi hubungan darat antara negara berjiran ini dalam masa terdekat.

"Mereka gembira melihat kemajuan dalam perbincangan terperinci yang berterusan mengenai skim laluan perjalanan vaksinasi serupa untuk membuka semula perjalanan merentasi Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di Johor dan Singapura," kata kenyataan itu yang dikeluarkan selepas kedua-dua pemimpin bercakap menerusi telefon, hari ini.

Dalam perbualan itu, pemimpin berkenaan mengakui bahawa Covid-19 sudah mengganggu hubungan penduduk antara kedua-dua negara dan memisahkan keluarga selama berbulan-bulan.

Memandangkan kemajuan ketara sudah dicapai dua negara itu dalam memberikan vaksin kepada penduduk masing-masing selain berupaya menguruskan wabak Covid-19, persetujuan dicapai bahawa sudah tiba masanya untuk menyambung semula perjalanan rentas sempadan antara kedua-duanya secara progresif dan selamat.

Ismail Sabri berkata, VTL adalah satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama Malaysia-Singapura yang sudah pun lama terjalin.

"VTL akan membenarkan semula perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura secara beransur-ansur.

"Kita membuka semula sempadan secara bertanggungjawab dengan mengimbangi keperluan untuk pemulihan ekonomi namun pada masa sama memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terpelihara daripada wabak Covid-19.

"Saya mengharapkan keberkesanan skim laluan perjalanan vaksinasi ini sebagai tambahan kepada kemudahan pergerakan orang dan barangan yang sudah dibangunkan antara Malaysia dan Singapura," katanya.

Sementara itu, Hsien Loong yakin pelaksanaan VTL akan membantu memulihkan ekonomi dan hubungan penduduk di kedua-dua negara selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

"Singapura dan Malaysia sudah menikmati hubungan yang mendalam, mesra daripada pelbagai aspek sejak sekian lama.

"Saya amat gembira kerana kedua-dua negara akhirnya dapat melancarkan semula perjalanan rentas sempadan melalui VTL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 6:53 PM