SAIFUDDIN (tengah) menyaksikan Khairy (kanan) dan Truss (kiri) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam sektor kesihatan bagi memudahkan lebih ramai doktor dan pekerja kesihatan Malaysia untuk bekerja serta meningkatkan kepakaran di UK. FOTO Bernama
SAIFUDDIN (tengah) menyaksikan Khairy (kanan) dan Truss (kiri) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam sektor kesihatan bagi memudahkan lebih ramai doktor dan pekerja kesihatan Malaysia untuk bekerja serta meningkatkan kepakaran di UK. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: United Kingdom (UK) menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia terutamanya dalam bidang ekonomi digital, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Ekonomi digital juga merupakan satu daripada tumpuan Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan dalam usaha membangunkan semula ekonomi era pasca pandemik, kata beliau.

"Kerjasama dalam ekonomi digital dalam pelbagai hal termasuk daripada segi pendidikan dan pertukaran maklumat, penyelidikan dan perbangunan dan sebagainya," katanya pada sidang media, di sini pada Isnin.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan UK, Elizabeth Truss.

Truss yang tiba di Malaysia pada Ahad, berada dalam rangka lawatan pertama ke rantau Asia Tenggara sejak dilantik sebagai Setiausaha Luar UK pada September 2021.

Selain itu, Saifuddin berkata kedua-dua negara turut komited untuk memperkukuhkan Komanwel selepas pandemik.

"Ini mungkin waktu yang sesuai untuk Komanwel melihat penekanan semula dalam beberapa perkara. Dua perkara disebutkan tadi dalam sektor ekonomi dan pendidikan bagi negara-negara Komanwel," katanya.

Menurut Saifuddin, Malaysia juga mengalu-alukan penglibatan UK dalam Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan meluahkan penghargaan atas penglibatan negara itu dalam latihan ketenteraan sempena 50 tahun perjanjian berkenaan.

FPDA ditandatangani pada 1971 oleh lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan UK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 5:56 PM