PENGAYUH beca menunggu di hadapan di Bangunan Stadthuys, Bandar Hilir, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
PENGAYUH beca menunggu di hadapan di Bangunan Stadthuys, Bandar Hilir, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Orang ramai perlu membuat perbandingan harga dan pakej pelancongan yang bersesuaian dengan bajet mereka sebelum mengambil keputusan bercuti.

Ini bagi memastikan isu ditipu dengan pengusaha yang tidak beretika dapat dielakkan, memandangkan sektor pelancongan mula rancak selepas kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kebenaran rentas negeri.

Bagi pengusaha pelancongan, Pengarah Seroja Anggerik Travel & Tours Sdn Bhd, Wan Ahmad Abu Kassim berkata, pihaknya mendapati orang ramai masih ingin bercuti cuma peratusan agak menurun berbanding sebelum PKP kerana rakyat masih berhati-hati dengan wabak Covid-19.

Katanya, percutian ke pulau amat diminati oleh pelancong selain pakej taman tema.

Katanya, dari segi harga, perkara ini adalah subjektif kerana pelancong perlu melihat pakej yang ditawarkan secara terperinci.

"Buatlah perbandingan pakej sama dari agensi berlainan, belilah jika berbaloi.

"Jika ada agensi pelancongan yang mengenakan bayaran tinggi, nasihat saya kita perlu saling membantu antara pengusaha dan pelanggan jika harga kita tinggi maka itulah sekali pelanggan akan datang ke tempat kita.

"Kita tidak akan dapat pelanggan berulang dan lebih parah sekarang ini zaman kuasa viral akan merosakkan perniagaan kita.

"Jadi, biarlah nilai sama dengan perkhidmatan dan tawaran yang disediakan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Widad Hospitality, Zamzuri Mahmood berkata, jika mengikut mengikut penawaran dan permintaan, tiada masalah untuk pengusaha mengenakan bayaran yang berpatutan mengikut musim.

"Perlu diingat mereka terkesan dengan 'total business close up' dan sudah hampir setahun lebih mereka merana.

"Ada yang gulung tikar dan menghadapi tindakan mahkamah serta bank. Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh mengenakan harga sesuka hati dan menjadi tanggungjawab semua pihak berkaitan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Persatuan Hotel, Matta, Mita dan pemain industri untuk sama-sama memantau.

"Namun, bagi saya pengguna pula tidak boleh sesuka hati viralkan situasi mengikut emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 9:01 PM