DOUGLAS Uggah
DOUGLAS Uggah
BERNAMA

Kuching: Musim 'landas' atau musim hujan pada awal tahun hadapan dan kekhuatiran kemungkinan timbulnya varian baharu Covid-19, adalah antara sebab kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), lebih suka untuk Pilihan Raya Negeri ke-12 diadakan pada masa ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu juga dicapai selepas mendapatkan pandangan dan merujuk kepada pelbagai pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata, musim landas dijangka pada Januari dan Februari tahun hadapan dan mengadakan pilihan raya pada musim hujan akan menjadi satu perkara sukar terutamanya pada ketika banjir berlaku.

Uggah berkata, pilihan raya negeri juga tidak boleh menunggu sehingga situasi Covid-19 pulih di negeri itu.

"Kes Covid-19 kita (Sarawak) pada ketika ini pada sekitar 400 ke 500 kes sehari. Kenaikan itu adalah disebabkan oleh varian Delta yang mudah berjangkit.

"Dan tidak dapat ditentukan, varian baharu yang lebih merbahaya mungkin akan ada pada masa hadapan. Pada ketika kita adakan pilihan raya, kita tidak boleh ambil mudah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 5 November, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilapor berkata, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah dibubarkan berkuat kuasa 3 November, bagi membolehkan diadakan pilihan raya negeri.

Abang Johari dipetik berkata, pembubaran itu selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan pada hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 6:37 PM