ZULKIFLEE dan Dira.
ZULKIFLEE dan Dira.
Amir Mamat


Melaka: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan dua anak bekas Ketua Menteri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Zulkiflee Mohd Zin, anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka ketujuh, Allahyarham Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani akan membawa cabaran BN bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Masjid Tanah berusia 53 tahun itu adalah antara muka baharu yang diketengahkan BN pada PRN kali ini.

"Saya bersyukur dengan pencalonan ini. Terima kasih kepada pucuk kepemimpinan BN yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dicalonkan dalam pilihan raya ini.

"Saya harapkan sokongan dan kerjasama semua jentera parti dan pengundi bagi mempertahankan kerusi DUN Taboh Naning," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, seorang lagi anak bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin turut dicalonkan.

Datuk Khaidirah atau Dira yang juga Ahli Majlis Kerja (MKT) Umno, dicalonkan di kerusi DUN Rim, adalah satu-satunya pemimpin Pergerakan Puteri Umno negeri yang dipilih sebagai calon mewakili BN.

Bekas pelakon dan pengarah drama berusia 37 itu berkata, kepercayaan pucuk kepemimpinan BN terhadap beliau akan digunakan sebaiknya bagi memastikan kerusi DUN Rim dapat dipertahankan pada PRN ini.

"Saya mengharapkan tunjuk ajar daripada orang lama, terutama bekas Adun Rim, Datuk Ghazale Muhamad untuk membimbing saya.

"Insya-Allah saya akan melakukan sehabis baik demi mempertahankan kerusi ini," katanya.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan 28 calon PRN Melaka sekali gus bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain.

Umno menampilkan 20 calon, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

Daripada jumlah itu, 24 calon atau 86 peratus adalah muka baharu yang ia tidak pernah dilakukan BN dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 4:28 PM