Norhizam Hassan Baktee
Norhizam Hassan Baktee
Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dikatakan hilang dari radar selepas Pakatan Harapan (PH) tidak menerimanya mengesahkan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, keputusan itu dibuat adalah membuktikan walaupun sebagai calon Bebas, beliau akan dapat memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) lalu.

"Saya dengan ini akan bertanding di DUN Pengkalan Batu atas tiket Bebas. Pemimpin Bebas tetapi boleh buat kerja. Lebih baik bertanding Bebas, apa kita mahu buat boleh buat dan bebas bersuara.

"Semuanya sudah selesai, borang sudah isi, deposit untuk poster sudah dibayar kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun bertanding sebagai calon Bebas namun beliau yakin akan dapat mencipta kemenangan 80 peratus pada PRN nanti.

"Saya bukan cakap kosong, saya ada KPI. Selama lebih tiga tahun bekerja untuk rakyat. Saya mungkin dilahirkan untuk rakyat.

"Kalau kita jadi calon baik, Insha-Allah 80 peratus akan menang. Parti hanya simbol dan logo sahaja yang undi kita adalah rakyat," katanya.

Norhizam berkata, beliau mengakui ada menerima pelawaan daripada parti pembangkang lain namun menolaknya.

"Tidak perlu cakap (parti mana), tawaran itu biasa, lebih empat ditolak. Saya yakin kenapa mereka hendak 'offer' sebab saya antara Yang Berhormat (YB) yang buat kerja. Bukan tidak berminat tetapi bila masuk rumah orang, 'bunyi' banyak sangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 3:13 PM