Motosikal mangsa ditemui terbabas di tepi jalan berkenaan selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Motosikal mangsa ditemui terbabas di tepi jalan berkenaan selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Beaufort: Lelaki yang dilaporkan hilang sejak 5 November lalu ditemukan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Saga-Saga Pimping, Membakut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.50 pagi, mayat R Kamlayswaran, 50, ditemui orang awam dipercayai lemas selepas terhumban ke dalam parit di tepi jalan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort Asisten Superintendan Dublin Patrick Rudes berkata, pihaknya menerima maklumat awam memaklumkan penemuan mayat mangsa terbabit.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dipercayai dalam perjalanan ke arah Kuala Penyu sebelum disyaki hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

"Mangsa disyaki meninggal dunia di lokasi akibat lemas, manakala motosikal pula tidak mengalami apa-apa kerosakan.

"Keadaan fizikal mangsa dan pakaian yang digambarkan dalam laporan polis berkaitan orang hilang sejak 5 November lalu adalah sepadan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Dublin berkata, setakat ini tiada sebarang unsur khianat atau jenayah, namun siasatan lanjut masih diteruskan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diterima.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 2:31 PM