Hajiji Noor
Hajiji Noor
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah akan membentangkan Belanjawan 2022 yang antara lain memfokuskan pembangunan modal insan membabitkan golongan belia pada 3 Disember depan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, antara inisiatif yang dimasukkan dalam belanjawan itu ialah memperkasa latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).

"Kerajaan negeri sentiasa berusaha menambah baik keberkesanan strategi dan pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan membabitkan belia di negeri ini.

"Kita sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda dan atas faktor itu, Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember ini memasukkan beberapa inisiatif baharu yang dirangka berpandukan syor dan pandangan kelompok sasar.

"Selaku ketua kerajaan negeri, besar harapan saya supaya golongan belia dapat bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan segala perancangan demi mencapai Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Belia Negeri Sabah 2021, Datuk Ellron Angin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Hajiji turut berharap cadangan pelaksanaan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) dapat diinstitusikan sebagai satu program teras pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri ini.

"Saya amat tertarik dengan cadangan pelaksanaan IKeBS yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah. Saya berharap pelaksanaan program perintis ini dapat dipantau dengan rapi," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus membantu golongan usahawan belia dan yang terkesan ecara langsung akibat pandemik Covid-19 melalui skim bantuan dana khusus.

Tambahnya, kerajaan negeri turut memperkenalkan Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ), sebagai antara strategi untuk memberikan pendedahan dan membina potensi serta ketrampilan diri belia di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 3:57 PM